Monday, May 23, 2011

AKTIVITI PERKHEMAHAN PENGAKAP ISTIMEWA PROGRAM PENDIDIKAN KHAS PERINGKAT NEGERI MELAKA 2011


Tarikh              : 19 – 16hb April 2011
Tempat            : Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka
Peserta             : 2 orang mewakili PPKI SMK Bukit Rambai, Melaka ( Zon Tanjong)
1.       Muhammad Nur Alif bin Rosli                
2.       Romyzie bin Rosli                                            
Guru Pengiring: Cik Norhaida binti Misrun               










 
Pada 19 hingga 21 April 2011 yang lalu, seramai 2 orang ahli Pengakap Istimewa Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai dan seorang guru pengiring iaitu Cikgu Norhaida Binti Misrun telah menyertai perkhemahan Pengakap Istimewa Program Pendidikan Khas Peringkat Negeri Melaka tahun 2011 di Hutan Rekreasi Ayer Keroh Melaka selama 3 hari 2 malam. Perkhemahan ini disertai juga oleh lebih 400 orang murid program pendidikan khas seluruh Negeri Melaka yang merupakan ahli Pengakap Istimewa Negeri Melaka. Perkhemahan ini telah dianjurkan oleh Unit Pendidikan Khas Negeri Melaka dan dikelola oleh Zon Alor Gajah. Sebanyak 8 zon di seluruh Negeri Melaka telah menyertai perkhemahan ini iaitu Zon Alor Gajah, Zon Masjid Tanah, Zon Tanjong, Zon Jasin, Zon Bukit Cina, Zon SKPK dan SMK Tun Mutahir, Zon Merlimau dan Zon Ayer Keroh.



Hari Pertama (19hb April 2011)

Bertolak dari SMK Bukit Rambai pada jam 8.30 pagi ke tapak perkhemahan di Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka dengan menaiki kereta. Setelah tiba di sana jam 9.15 pagi, kami membuat pendaftaran dan mencari tapak perkhemahan yang disediakan mengikut zon iaitu Zon Tanjong. Setelah mencari tapak perkhemahan, murid diarah mendirikan khemah dengan bimbingan guru pengiring.

            Setelah khemah didirikan, semua peserta perkhemahan diarahkan berkumpul mengikut zon masing-masing untuk diberi taklimat mengenai pengurusan zon dan membentuk kumpulan 6 sekawan iaitu satu kumpulan mempunyai 6 orang ahli. Bagi Zon Tanjong sebanyak 8 kumpulan telah dibentuk dan setiap kumpulan mempunyai peranan untuk menyertai 1 aktiviti yang telah dirancang oleh pihak pengelola. Aktiviti masih diteruskan walaupun hujan turun dengan lebat. Banyak khemah peserta yang basah kerana dimasuki air namun masalah tersebut dapat diatasi dengan baik. Pada jam 1.00 petang, para peserta diberi makan tengahari. Masakan disediakan oleh AJK masakan yang terdiri daripada guru Pendidikan Khas zon masing-masing.

Pada jam 1.30 petang peserta dikehendaki bersolat Zohor di surau yang disediakan di tapak perkhemahan tersebut. Pada jam 2.00 petang, aktiviti dimulakan dengan LDK 1 iaitu merancang untuk membina bendera Zon, membina pintu gerbang, membuat gajet dan pertandingan melukis. Muhammad Nur Alif telah memasuki pertandingan melukis dan lukisannya telah terpilih untuk saringan akhir. Lukisan bertemakan hidupan alam flora dan fauna. Jam 6.00 petang para peserta diberi makan malam kemudian bersolat Maghrib serta kuliah maghrib seterusnya disambung dengan Solat Isyak.

            Pada jam 9.00 malam, LDK 2 dijalankan dengan aktiviti nyanyian Lagu Pengakap. Antara lagu yang dinyanyikan ialah lagu tepuk pengakap, bila rasa gembira, tepuk malu, tepuk anak jin dan banyak lagi. Pada jam 11.00 malam, semua peserta diberikan kudapan malam dan kemudian tidur.

Hari Kedua (20hb April 2011)

Para peserta dikejutkan pada pukul 5.30 pagi untuk pengurusan diri dan solat Subuh serta mendengar kuliah Subuh. Pada jam 6.30 pagi, para peserta telah dibawa ke dataran untuk menjalankan aktiviti senaman pagi. Jam 7.30 pagi peserta diberikan sarapan pagi. Tepat jam 8.00 pagi para peserta menjalankan aktiviti LDK 3 hingga LDK 8 iaitu memerlukan setiap zon untuk menghantar 1 kumpulan 6 sekawan bagi menjalankan aktiviti yang telah ditetapkan. LDK 3 ialah ikatan simpulan. LDK 4 pula menjalankan aktiviti pertolongan cemas, LDK 5 menjalankan aktiviti Pertandingan Memasak. Manakala LDK ialah Kawad kaki statik. LDK 6 menjalankan aktiviti ikhtiar hidup. Aktiviti LDK tersebut dijalankan secara berasingan mengikut pembahagian kumpulan yang telah dibentuk. Romyzie bin Rosli telah menyertai aktiviti bagi LDK 3 iaitu ikatan simpulan. Manakala Muhammad Nur Alif bin Rosli telah menyertai aktiviti ikhtiar hidup dalam LDK 6. Namun begitu aktiviti berjalan separuh jalan kerana hujan turun dengan lebat secara tiba-tiba lalu menyebabkan para peserta serta guru pengiring berlari ke dalam astaka yang berdekatan dengan tempat aktiviti. Aktiviti ditangguhkan ke petang untuk pertandingan bagi semua aktiviti yang telah disebutkan.

            Pada jam 12.00 tengahari, para peserta diberikan makan tengahari kemudian bersiap sedia untuk bersolat Zohor di surau. Tepat jam 2.00 petang peserta berkumpul untuk menyambung semula aktiviti yang tertangguh pada waktu pagi. Manakala untuk latihan persembahan malam kebudayaan satu kumpulan 6 sekawan telah dipilih bagi setiap zon untuk menjalankan latihan persembahan zon masing-masing yang akan dipersembahkan pada waktu malamnya. Zon Tanjong telah membuat latihan persembahan tarian Inang dan Zapin. Pada jam 6.00 petang peserta diberi rehat untuk persediaan makan malam dan pengurusan diri serta persiapan untuk solat Maghrib dan Isyak.

            Tepat jam 9.00  malam acara kemuncak yang dinanti-nantikan oleh para peserta perkhemahan ialah Malam Bakat dan Kebudayaan murid-murid program Pendidikan Khas Negeri Melaka di mana ia dihadiri oleh Ketua Unit Pendidikan Khas iaitu Encik Aziz Md Lani telah sama-sama menyaksikan 8 kumpulan persembahan yang terdiri daripada 8 buah zon yang terlibat. Zon Tanjong telah mendapat undian ke 6 untuk mempersembahkan tarian Inang dan Zapin. Setiap persembahan kumpulan telah diselangi dengan pertandingan bakat menyanyi karaoke murid-murid Pendidikan Khas setiap zon. Aktiviti tamat pada jam 11.30 malam, peserta dibenarkan untuk kembali ke tapak perkhemahan masing-masing untuk kudapan malam dan tidur.

Hari Ketiga (21hb April 2011)

Seperti hari yang sebelumnya aktiviti adalah sama iaitu peserta dikejutkan jam 5.30 pagi untuk persiapan diri dan solat Subuh serta kuliah Subuh. Pada jam 6.30 pagi, peserta bersenam bersama fasilitator hingga waktu bersarapan pagi. Pada pagi itu peserta dikehendaki memakai satu set uniform pengakap bagi acara penutup yang akan dijalankan jam 10.00 pagi. Sebelum majlis penutup, para peserta setiap zon dikehendaki untuk membuka dan membersihkan kawasan khemah masing-masing bagi persiapan untuk pulang. Sebelum itu para pegawai dari Unit Pendidikan Khas telah membuat penilaian terhadap tapak perkhemahan setiap zon untuk kategori khemah, gajet dan pintu gerbang terbaik, terbersih dan tercantik. Zon Tanjong telah memenangi ketegori pembinaan gajet terbaik.

            Tepat jam 10.15 pagi Majlis Penutup Perkhemahan Pengakap Istimewa Pendidikan Khas Negeri Melaka dimulakan. Majlis Penutup ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Melaka iaitu Dr. Mohamad Nor bin Mohamad Taib. Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Tn. Haji Muhammad Sapian bin Siran serta Ketua Unit Pendidikan Khas Negeri Melaka En. Aziz Md Lani juga turut hadir dalam Majlis Penutup tersebut. Sesi pengumuman para pemenang yang telah menyertai beberapa pertandingan juga diumumkan dalam majlis ini berserta dengan penyampaian sijil penyertaan. Majlis tamat jam 12.30 tengahari. Pada jam 1.00 petang semua peserta perkhemahan pulang ke sekolah masing-masing.