Friday, October 29, 2010

SEJARAH PENUBUHAN PPKI SMKBR



PPKI Bermasalah Pembelajaran di SMKBR telah ditubuhkan dan memulakan operasinya pada Mac  2009. Pada peringkat permulaan, hanya terdapat sebuah kelas dengan  seorang guru iaitu  En. Jahari b. Ahmad yang juga merupakan Penyelaras Pendidikan Khas yang pertama. Beliau telah membuka  Kelas Pendidikan Khas Integrasi di SMKBR. Murid-murid yang diambil terdiri daripada murid-murid arus perdana di  sekolah ini yang mengalami masalah pembelajaran.  Kemudian seorang guru GSTT  dan seorang Pembantu Pengurusan murid dihantar ke sekolah bagi memenuhi keperluan murid Pendidikan Khas disekolah ini.
Murid yang pada asalnya hanya 9 orang pada tahun 2009 telah bertambah kepada 16 orang pada tahun 2010. Manakala kelas pendidikan khas telah bertambah menjadi 2 kelas. Pada tahun 2010 kelas pendidikan khas telah berpindah ke rumah warden yang telah diubahsuai dengan kapasiti 3 buah kelas dan terletak berhampiran dengan asrama sekolah. Ini   disebabkan sekolah tidak mempunyai kelas yang khusus untuk kelas pendidikan khas dan tidak dapat menampung bilangan murid pendidikan khas yang semakin bertambah. Pada bulan ogos 2010 sebuah bangunan baru dibina untuk menempatkan kelas pendidikan khas yang dijangka siap dan diguna sepenuhnya pada tahun 2011. Pengetua pada masa kini ialah Tuan Zainal b. Aman.
Bilangan kelas pada masa kini ialah 2 kelas, bilangan murid pula ialah 14 orang, guru pendidikan khas 3 orang dan seorang pembantu pengurusan murid. Penyelaras Pendidikan Khas pada masa kini ialah Encik Muhammad Ikhwan b. Md. Naser dibantu oleh 2 orang guru Pendidikan Khas  iaitu Pn. Noor  Fauziah bt Bahadim dan Cik Norhaida bt Misrun serta seorang Pembantu Pengurusan Murid Pn. Juliza bt Abdul Rahman. Kini, Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di SMKBR telah mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya dalam kalangan masyarakat setempat.

Sunday, October 24, 2010

Pamplet Kelas PPKI SMKBR 2010

Muka 2


Muka 1   

Falsafah Pendidikan Khas

"Falsafah Pendidikan Khas mempunyai matlamat yang sama dengan Falsafah Pendidikan Biasa yang meliputi semua aspek pendidikan. Ia menyediakan perkembangan optima kanak-kanak dengan keperluan-keperluan khas agar dapat berfungsi sebagai individu yang berkemahiran, berdikari, berhaluan, boleh merancang, mengurus kehidupan sendiri, boleh menyedari potensi sendiri dan boleh menyesuaikan diri dalam masyarakat."

Huraian Falsafah Pendidikan Khas
 
  • Melaksanakan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Khas
  • Memperseimbangkan peluang-peluang pendidikan dalam aspek peruntukan kewangan, pakar khidmat sokongan khas, peruntukan fizikal, pembangunan dan lain-lain.
  • Menyediakan perkembangan kemahiran intelek dan psikomotor secara menyeluruh dan bersepadu untuk menghasilkan individu yang terpelajar dan seimbang dalam masyarakat.
  • Menekankan Pendidikan Bagi Semua (Education for all).
  • Segala program yang dirancang dan dibentuk hendaklah berlandaskan kebolehan kefungsian, bukan kepada kategori / labelling.
  • Memperkukuhkan keadaaan bahawa kanak-kanak dengan keperluan-keperluan khas pada asasnya adalah kanak-kanak dan pergaulan berterusan dengan kanak-kanak biasa adalah berfaedah; kelas khas rancangan percantuman, normalisasi, persekitaran yang tidak terhad, intergrasi sosial, intergrasi berfungsi, intergrasi setempat dan pengsealiran (mainstreaming).
  • Menghasilkan individu yang mempunyai kesedaran, semangat, kesetiaan, aspirasi dan nilai yang tinggi agar dapat bersatu dan membentuk perpaduan di kalangan masyarakat majmuk.
  • Menghasilkan sumber tenaga manusia untuk pembangunan ekonomi negara.
  • Menyediakan individu yang mempunyai nilai moral yang tinggi, sahsiah yang baik, bertanggungjawab, berdisiplin dan progresif agar dapat memberi sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara.
  • Menyediakan kanak-kanak dengan keperluan-keperluan pendidikan khas dengan program seperti yang diberi kepada kanak-kanak biasa dan belajar bersama-sama mereka.
  • Pendidikan khas adalah sebahagian dari pendidikan biasa dengan pengubahsuaian dimana perlu.
  • Melaksanakan Rancangan Pendidikan Individu (IEP).
  • Mewujudkan norma-norma yang berteraskan keperluan-keperluan khas dari aspek tenaga pendidikan khas dan tenaga khidmat sokongan khas seperti jurupulih pertuturan/bahasa, guru khas audiologi/guru khas pakar perunding, guru khas beredar (intinerant teacher) dan lain-lain.
  • Menekankan pendekatan pendidikan dan pemulihan yang terdiri daripada pasukan multi disciplinary.
  • Menekankan pembekalan perkhidmatan-perkhidmatan yang bersifat pencegahan awal daripada yang bersifat pemulihan.
  • Mewujudkan program transisi bagi murid-murid dan pelajar-pelajar dengan keperluan-keperluan pendidikan khas untuk mendapatkan penyesuaian dalam budaya kerja.
  • Menghasilkan program-program yang berteraskan pra-vokasional dan vokasional supaya murid-murid dan pelajar-pelajar dengan keperluan-keperluan pendidikan khas mempunyai kemahiran-kemahiran bekerja sendiri.
  • Menghasilkan perkhidmatan-perkhidmatan program yang menekankan kepada pelbagai model perkhidmatan.
  • Menentukan supaya pelajar-pelajar dengan keperlaun-keperluan khas rancangan percantuman sekolah biasa terlibat dalam cadangan kombinasi mata pelajaran efektif di tingkatan IV untuk persediaan peperiksaan SPM.
  • Menentukan perlaksanaan kombinasi mata pelajaran efektif di tingkatan IV di sekolah menengah khas untuk persediaan SPM.
  • Menentukan supaya sebilangan pelajar-pelajar dengan keperluan-keperluan pendidikan khas cacat penglihatan dan rabun dapat mengambil peperiksaan SPM(Vokasional).
  • Menentukan pelajar-pelajar dengan keperluan pendidikan khas cacat pendengaran di sekolah menengah pendidikan khas mengambil peperiksaan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan Kementerian Sumber Manusia.
  • Menentukan sebilangan pelajar-pelajar dengan keperluan-keperluan pendidikan khas cacat pendengaran di SMP Khas Vokasional mengambil peperiksaan SPMV dan MLVK.
  • Menentukan pelajar-pelajar dengan keperluan-keperluan pendidikan khas cacat pendengaran di kelas-kelas khas rancangan percantuman mengambil peperiksaan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan Kementerian Sumber Manusia di bawah sayap Vokasional.

Visi dan Misi Pendidikan Khas

 

VISI
Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid-murid
berkeperluan khas ke arah kecemerlangan hidup sejajar dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.



MISI

Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas untuk menjadikan mereka INSAN yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan Negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Friday, October 22, 2010

Selamat Datang/ Welcome

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat datang / Welcome ke blog Program Pendidikan Khas Integrasi Sek Men Keb Bukit Rambai, Melaka. Blog ini akan memaparkan tentang informasi berkaitan dengan dunia Pendidikan Khas dan segala aktiviti-aktiviti PPKI SMKBR sepanjang tahun bermula dari Tahun 2010. Semoga dengan adanya informasi seperti ini dapat membuka mata dan minda anda yang diluar sana mengenai dunia pendidikan anak-anak istimewa ini. Di alu-alukan sebarang komen dan pertanyaan serta pendapat atau cadangan dari anda sekalian yang telah singgah ke blog ini. Sekian maklum (^_^).